Mangsa dibelasah beramai-ramai di sebuah hotel di Batu Kawa
2 Individu Dijatuhi Hukuman Penjara 5 Tahun, Belasah Lelaki Hingga Maut Di Batu Kawa. Seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terbabit kes tular kematian seorang lelaki di Hospital Umum Sarawak susulan dipukul beramai-ramai di sebuah hotel di Batu Kawa.
Hartley Tuntun Jerah, 33, mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian mangsa tanpa niat.

Manakala Ayu Abdullah, 25, mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan iaitu bersubahat dengan suaminya, Ashley Austin Chin, 25, kerana menyebabkan kematian mangsa.
Kedua-duanya mengaku bersalah dalam prosiding berasingan yang dijalankan di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Oktober 2023 antara jam 12.30 tengah malam dan 1 pagi di tangga sebuah hotel di MJC Batu Kawa di sini.
Fakta bagi kedua-dua kes mendedahkan pada hari kejadian, Ayu menuduh mangsa berusia 51 tahun (si mati) mencabulnya di dalam bilik hotel tersebut, setelah suaminya menjumpai Ayu berdua-duaan dengan mangsa di situ.
Susulan itu, suami Ayu memanggil rakan-rakannya (termasuk Hartley) supaya pergi ke hotel itu dan bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai.
Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 November 2023.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asymawi Ghazali.
Hartley dan Ayu tidak diwakili peguam.
Setakat ini, sejumlah 11 individu (termasuk Hartley, Ayu dan pesalah muda) telah dihadapkan ke mahkamah untuk kes terbabit.
Dua daripadanya iaitu Ashley Austin (suami Ayu) dan Albert Chin Quan Yan, 22, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan apabila didakwa di Mahkamah Majistret pada Jumaat, 10 November 2023.
Baca lagi artikel menarik:
Artikel asal oleh: iloveborneo.my
RM13.01
