Walaupun sudah diberi ‘lampu hijau’, namun mangsa banjir yang memasuki premis MYDIN Mart Sri Muda, Shah Alam diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan.
Mydin Malaysia memaklumkan peringatan sedemikian melalui satu kenyataan ringkas yang dimuat naik ke Twitter pada 2.30 petang tadi.
“Kami dimaklumkan bahawa ada yang terus memecah masuk ke premis MYDIN Mart Sri Muda pada hari ini.
“Justeru, kami berharap agar orang ramai tidak mengambil kesempatan di atas perkara ini,” maklum kenyataan ringkas tersebut hari ini.
Sebelum itu, tular kejadian segelintir individu didakwa mangsa banjir yang memecah masuk ke dalam premis tersebut, dipercayai untuk mendapatkan bekalan keperluan kelangsungan hidup.
Kejadian tersebut turut sampai ke pengetahuan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Wira Dr. Haji Ameer Ali Mydin sendiri.

Bagaimanapun Ameer Ali Mydin dilapor sangat memahami keadaan terdesak yang dialami, justeru perbuatan itu ‘dihalalkan’ demi kelangsungan hidup mereka.
“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumber: Twitter Mydin
