Oleh : SUBKHI SUDARJI
PENJARING hatrik Malaysia pada Sukan SEA 1999, Ahmad Shahrul Azhar menerima jawatan selaku Pengarah Teknikal Perak FC dan bakal diperkenalkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Bekas pemain kebangsaan dan juga Perak serta Negeri Sembilan itu membuat penampilan terakhirnya adalah pada perlawanan menentang Korea Selatan di Sukan Asia 2002 sebelum bersara sebaik musim 2008 tamat.
Ahmad Shahrul berkata kepada CAKAPSUKAN, secara dasarnya dia telah menerima tawaran tersebut.
“Terima dah..Alhamdulillah, hanya tunggu masa untuk diperkenalkan secara rasmi oleh pengurusan Perak FC dalam masa terdekat,” katanya sebentar tadi.
Terdahulu CAKAPSUKAN, turut melaporkan kenyataan dari bekas pengendali skuad Projek FAM-MSN , Yusri Che Lah yang telah mengesahkan penerimaan jawatan ketua jurulatih Perak FC bagi musim 2022.
Ahmad Shahrul bukanlah asin dalam dunia bola sepak tempatan apabila dia mewakili Malaysia ke Sukan Asia Tenggara (SEA), Piala Tiger 2000, Pestabola Merdeka dan kelayakan Piala Asia. Dia menjaringkan hatrik ketika bertemu Kemboja dalam perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA 1999.
> Info Ringkas
- Mewakili skuad Piala Presiden Perak ketika baru berusia 18 tahun.
- Debut sulung Ahmad Shahrul bersama Perak ialah dalam perlawanan menentang Pulau Pinang pada 29 April 1995 yang berakhir tanpa jaringan.
- Kekal bersama Perak sehingga tahun 1997 sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan tahun berikutnya dan memperoleh kaps senior pertamanya bersama skuad negara pada tahun 1999.
- Pada tahun 2000, Ahmad Shahrul Azhar membuat keputusan untuk kembali bersama Perak di bawah kendalian mendiang Karl-Heinz Weigang. Turut kembali bersama skuad Seladang ialah bekas rakan sepasukannya yang turut berhijrah keluar pada tahun 1997 dan bersama Terengganu, Syamsul Saad.
- Pada tahun 2004, Perak berjaya menamatkan penantian 14 tahun untuk menjulang Piala FA dimana Ahmad Shahrul Azhar menjadi kapten kedua Perak yang berjaya menjulang piala tersebut.
- Untuk rekod sejak 1995, Ahmad Shahrul Azhar telah mengecapi 4 kejuaraan domestik dan 5 kali muncul naib juara.
- Terus bermain untuk Perak sehingga tahun 2008 dan sekali lagi berhijrah menyertai Proton FC pada 2009 sekelum memilih untuk bersara pada musim berikutnya pada usia 35 tahun.
- Selepas bersara, Ahmad Shahrul Azhar menjadi penolong pengurus Perak (2013), ketua jurulatih Piala Belia Felda United FC (2016) dan bersama Perak sebagai Setiausaha Kehormat PAFA merangkap pengurus Perak (2017-2018).
RM13.01
