PETALING JAYA – Pelakon Aedy Ashraf tampil mempertahankan kekasihnya, Amelia Henderson yang dikecam netizen apabila dikecam tidak pandai memasak.
Aedy atau nama sebenarnya, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi berkata, tidak menjadi masalah besar buatnya apabila wanita dicintainya itu tidak hebat di dapur seperti kebanyakan wanita lain.
“Tidak mengapa. Saya pandai memasak,” seloroh pelakon drama Tebas itu.
Interaksi romantis antara Aedy, 30 dengan Amelia, 28, tercetus di aplikasi X apabila tular video wanita itu memotong cili dalam sebuah program menerima kritikan hebat daripada netizen.
Amelia pada mulanya mempersoalkan kewajaran kecaman sebilangan netizen terhadap golongan wanita termasuk dirinya yang tidak pandai memasak.
Luahan tersebut dimuat naik pemilik nama penuh Amelia Thripura Henderson itu dalam aplikasi X selepas videonya memotong cili dalam sebuah program menerima kritikan hebat daripada netizen.
“Jadi, adakah orang ramai berfikir nilai kewanitaan anda akan jatuh sekiranya tidak memasak?” katanya dalam aplikasi X semalam.
Rata-rata peminat teruja menyaksikan situasi romantik yang dipaparkan kedua-dua pasangan selebriti terbabit.
“Hidup saling melengkapi walaupun tidak sempurna,” kata peminat.
Baru-baru ini tular video pelakon berusia 28 tahun itu berhati-hati menggunakan pisau untuk memotong cili. Dia juga kelihatan kekok semasa mengalihkan makanan ke dalam pinggan.
Pada awal April lalu, Aedy mengakui kembali bercinta kasih dengan Amelia selepas desas-desus hubungan percintaan mereka kian menjadi perbualan khalayak.
Bagaimanapun, pada akhir Julai lalu, Amelia dan Aedy seperti memberi bayangan hubungan cinta mereka sudah putus apabila masing-masing memuat naik ciapan seperti dalam emosi kesedihan dan kecewa.
Malah, Aedy juga turut memadam foto-fotonya bersama Amelia dalam akaun Instagramnya yang sebelum ini dimuat naik sepanjang mereka berlakon dalam sebuah drama pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.
Sumber: Kosmo Online
RM13.01
