NAIB Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mendedahkan status sebagai bekas pemain bola sepak profesional atau pemain kebangsaan tidak menjamin bahawa individu berkenaan mempunyai kemahiran tinggi sebagai tenaga pengajar di peringkat akar umbi.
Tegasnya, hasil tinjauan yang dibuat ke atas beberapa pasukan Piala Presiden dan Belia mendapati asas pengetahuan tenaga pengajarnya boleh di katakan ke ‘laut’ dan sebenarnya bukanlah jaminan bahawa individu berkenaan cekap untuk melatih pemain di peringkat akar umbi.
“Pelantikan atau pemilihan orang dalam bola sepak pastikan mempunyai kemahiran tinggi.. Jika tengok di Thailand, kebanyakannya tenaga pengajar mereka adalah individu yang mempunyai pengetahuan tinggi namun sekarang ini tidak berlaku di Malaysia.
“Memang individu berkenaan adalah bekas pemain kebangsaan tapi tiada kemahiran tinggi. Saya suka tengok di peringkat akar umbi orang yang mengajar mestilah memiliki kemahiran penuh seterusnya pemain muda ini hebat.
“Jika di Thailand, kita lihat tenaga pengajarnya semua berkemahiran tinggi dan paling penting ada antara mereka tidak bermain pun untuk negara.
“Kita nak orang yang berkemahiran tinggi sebagai tenaga pengajar bukannya bersandarkan kepada bekas pemain semata-mata. Hal ini kerana jika tiada kemahiran mengajar nak ajar apa kepada pemain muda,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Taklimat Piala Presiden dan Piala Belia 2022, hari ini.
Katanya lagi, walaupun dua tahun kejohanan di peringkat belia tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19 namun itu bukanlah punca utama kekurangan bakat pemain muda tiada hingga menjejaskan keupayaan pasukan kebangsaan.
“Saya tak lihat perkara itu berlaku walaupun dua tahun tiada kejohanan di peringkat belia. Apa yang saya lihat pemain sebelum ini juga berpotensi untuk mewakili negara.
“Cuma saya nak pesan kepada pengurusan bola sepak di peringkat negeri supaya mempergiatkan lagi usaha mencari bakat baharu, kita tak mahu ada bakat yang boleh diketengahkan namun mereka tidak serius untuk memastikan bola sepak maju,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Piala Piala Presiden dan Piala Belia 2022 masih mengekalkan format serupa seperti musim 2021 susulan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara ini.
Katanya, kedua-dua pertandingan yang masing-masing menyaksikan penyertaan 20 pasukan itu akan dipecahkan kepada tiga kumpulan mengikut zon terdiri daripada zon Selatan, Barat, Utara, Timur dan Tengah (termasuk Sabah dan Sarawak).
Oleh: SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA / CakapSukan.com
