SINGAPURA: Sejumlah penumpang syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot yang dalam perjalanan dari republik ini ke Xi’an, China terpaksa mendarat tanpa bagasi mereka.
Hal ini kerana, syarikat penerbangan itu terpaksa mengeluarkan sejumlah bagasi penumpang disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak stabil.
Pesawat TR134 berlepas dari Lapangan Terbang Changi 35 minit lewat daripada yang dijadualkan kelmarin.
Hal itu berikutan petugas terpaksa ‘memunggah sejumlah bagasi penumpang’ ekoran angin kencang luar biasa.
Keadaan itu dikhuatiri menjejaskan prestasi pesawat sebelum berlepas, menurut jurucakap Scoot kepada Mediacorp.
Jelas syarikat penerbangan itu, para penumpang yang terjejas dimaklumkan mengenai perkara tersebut sebaik sahaja mereka tiba di Xi’an pada awal pagi semalam.
“Kes seperti itu (keluarkan bagasi penumpang) amat jarang berlaku, namun ia perlu bagi memastikan keselamatan pesawat dan semua penumpang sehingga selamat sampai ke destinasi.
“Kesemua bagasi yang dikeluarkan dihantar semula kepada pemiliknya menerusi satu penerbangan malam semalam.
Namun, syarikat penerbangan itu tidak menyatakan jumlah penumpang yang terjejas dan memaklumkan, kesemua bagasi tersebut dihantar ke penginapan mereka.
“Dengan rendah hati dan ikhlas, Scoot memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan kami akan membantu semua penumpang yang terjejas,” jelas syarikat tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
