Seorang banduan tertua di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah mendapat tarikh untuk menjalani hukuman mati pada 21 April tahun ini, lapor Daily Star.
Menurut laporan, banduan itu telah menunggu tarikh hukuman mati lebih 30 tahun selepas dia dituduh melakukan kesalahan menembak dan membunuh.
Hakim Mahkamah Houston memerintahkan tahanan berusia 77 tahun itu untuk menjalani hukuman mati selepas hampir 32 tahun dia melakukan pembunuhan itu.
Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada Jun 1990, banduan itu dikatakan telah menembak dan membunuh dengan kejam seorang pegawai polis Texas yang bernama James Irby di Houston.
Kejadian dikatakan berlaku semasa banduan sedang dalam perjalanan pulang sebagai seorang penumpang. Dia telah menembak pegawai polis sebaik sahaja mereka diberhentikan di salah sebuah perhentian trafik.
Banduan itu dikatakan keluar daripada kereta pada masa pemandu dan pegawai polis sedang bercakap.
Menurut Click2Houston melalui Daily Star, dia kemudiannya telah menembak bahagian kepala dan belakang badan anggota polis itu.
Satu tembakan dikenakan di bahagian kepala dan dua tembakan dikenakan di bahagian belakang anggota polis itu.
“Dia menembak seorang anggota polis di kepala lebih 30 tahun lalu, kini sudah tiba masanya dia perlu bertanggungjawab terhadap jenayah yang dia lakukan.” kata Peguam Daerah Harris County, Kim Ogg.
Di Texas, kaedah pelaksanaan hukuman mati yang menjadi pilihan adalah melalui suntikan maut.
Sumber: Daily Star
