JAKARTA: Agensi Pengangkutan Jakarta memaklumkan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi 50 peratus penjawat awam tidak membawa kesan ketara dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar itu.
Ketua Badan Pengangkutan Jakarta, Syafrin Liputo berkata, kesesakan lalu lintas di ibu negara hanya berkurangan sekitar 1.69 peratus melalui dasar BDR yang dikuatkuasakan minggu lalu.
“Minggu lalu, jumlah trafik dari 4 hingga 8 September berbanding bagi tempoh masa yang sama pada bulan sebelumnya menurun hanya sebanyak 1.69 peratus,” katanya dalam satu kenyataan dipetik CNN Indonesia.
Syafrin menjelaskan, dasar itu tidak memberi kesan signifikan kerana penjawat awam atau Aparatus Sivil Negara (ASN) yang bekerja di Jakarta hanya membentuk lima peratus daripada jumlah penduduk yang menjalankan aktiviti setiap hari di bandar itu.
“Jumlah ASN di kementerian, lembaga dan agensi kerajaan hanya lima peratus. Jadi jika diterapkan dasar BDR untuk kapasiti 50 peratus anggota, secara automatik maksimum yang menyertainya hanya dua peratus sahaja,” katanya.
Jelasnya lagi, jumlah kenderaan yang memasuki Jakarta meningkat sekitar 1.57 peratus sehari, kebanyakan melibatkan motosikal.
“Puratanya ialah 2,626 kenderaan sehari, di mana kadarnya sekitar 77 peratus beroda dua,” katanya.
Kerajaan Wilayah Jakarta melaksanakan dasar BDR untuk ASN sebagai tindak balas tahap pencemaran udara yang tinggi selain mengurangkan kesesakan ketika penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 minggu lalu.
Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi, Informasi dan Statistik Jakarta, Sigit Wijatmoko berkata, percubaan dasar BDR tersebut hanya melibatkan ASN yang melaksanakan tugas sokongan dan bukannya kakitangan hospital, bomba dan polis.
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
