Bekas Setiausaha Politik MB Kedah Didakwa Minta, Terima Suapan Berkaitan REE
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan unsur Nadir Bumi (REE) di sekitar negeri itu, Julai lepas.
Mohamad Hilmi, 50, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Hilmi didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Pengarah Syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd, Liana Mamat @ Khalid, 40, melalui Syed Muhammad Syid Aluvi, 34.
Ia sebagai dorongan bagi tertuduh, yang ketika itu Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membantu syarikat berkenaan untuk mendapat kelulusan permohonan Lesen Perlombongan dan Lesen Penjelajahan REE di sekitar Kedah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Sunway Kiara Hills, Taman Sri Hartamas di sini, pada 4 Julai lepas.
BACA JUGA: Kenali Manchineel, Pokok Paling Berbahaya Di Dunia Hingga Digelar “Tree Of Death”
Dia turut didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM150,000 daripada individu sama (Liana) bagi tujuan sama di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini, pada 11 Julai lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sumber: BERNAMA
The post Bekas Setiausaha Politik MB Kedah Didakwa Minta, Terima Suapan Berkaitan REE appeared first on Siakap Keli.
Artikel asal oleh: Siakap Keli
RM13.01
