JAKARTA: Negara-negara blok ASEAN kini berusaha mendapatkan sebanyak 73 projek bernilai AS$17.8 bilion (RM83.2 bilion) untuk pembangunan serantau.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Luar negara Indonesia, Pahala Nugraha Mansury dalam satu sidang akhbar di Senayan, Jakarta Pusat kelmarin.
Pembangunan kesemua projek berkenaan turut menjadi satu daripada topik dalam Forum Indo-Pasifik ASEAN (AIFP) dalam Persidangan Tingkat Tinggi (KTT) ASEAN ke-43 di Jakarta bermula 5 hingga 7 September ini.
“Kita kenal pasti terdapat 73 projek dengan nilai AS$17.8 bilion boleh dilakukan di Asia Tenggara.
“Oleh hal yang demikian, kita berharap kesemua projek berkenaan boleh dilaksanakan menerusi kerjasama ekonomi yang kukuh,” katan Pahala.
Selain itu, Pahala juga menyatakan kerjasama ekonomi dalam AIPF merupakan pelaksanaan daripada ASEAN Outlook on Indo Pacific bagi mengubah persaingan serantau kepada kerjasama positif yang menguntungkan.
Jelasnya, ASEAN merupakan kawasan Indo Pasifik yang berpotensi dipengaruhi kuasa besar.
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ASEAN merupakan satu daripada kawasan utama untuk pembangunan ekonomi dunia pada masa ini.
Ekonomi rantau ini juga dianggarkan berkembang sehingga 4.5 hingga 4.6 peratus pada tahun ini.
Sehingga kini, ASEAN sudah pun memperoleh sebanyak 93 projek kerjasama bernilai AS$38.2 bilion (RM176 bilion).
Timbalan Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Rosan Roeslani berkata, sebanyak 65 peratus daripada projek tersebut akan dilaksanakan di Indonesia.
“Dari 93 projek, sebanyak 65 peratus daripadanya akan dilaksanakan di dalam Indonesia,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
