Memiliki suara yang lunak dan sedap didengar adalah anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Tuhan kepada sesetengah manusia. Salah seorang daripadanya adalah Bob Yunus, pemuda berusia 21 tahun yang berasal dari Asajaya, Sarawak.

Beliau yang aktif memuat naik video nyanyiannya di platform TikTok mendapat durian runtuh apabila videonya menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem Tentang Dia (2005) yang bertajuk ‘Cinta’ tular di negara jiran Indonesia sehingga mendapat perhatian daripada penyanyi tersohor Indonesia iaitu Melly Goeslaw.
Tontonan lebih 6 juta dalam masa 2 minggu!
Sehingga artikel ini diterbitkan, video nyanyian Bob ini telah mendapat lebih 6 juta tontonan sejak mula dimuatnaik pada 26 Julai yang lalu. Menariknya, beliau menyanyikan lagu bernada tinggi itu dengan gaya bersahaja di hadapan cermin.
Kemerduan suara Bob juga sempat menjadi buah mulut dan perhatian media hiburan di sana.

DM dari Melly Goeslaw umpama mimpi buat Bob
Lantaran video yang tular itu, beliau sendiri tidak menyangka dan terasa seperti mimpi apabila penyanyi tersebut menghubunginya menerusi DM Instagram dan memuji suara lunak Bob Yunus.
Bukan itu sahaja, pemuda ini juga menerima tawaran daripada penyanyi itu untuk merakamkan semula single lagu berjudul ‘Cinta’ nyanyian asal Melly Goeslaw!

Melly Goeslaw muatnaik video nyanyian Bob Yunus di Instagram beliau!
“Jujur saya semakin kagum sama Allah yang menciptakan suara begitu indah dan dititipkan kepada kamu.”
“Besar sekali harapan saya dapat bertemu langsung dengan manusia special pilihanNya. Kamu sangat special. Dari sebegitu banyak manusia ciptaanNya, dia titipkan suara merdu itu kepada kamu.”
“Semoga kita dapat bertemu dan buat sesuatu bersama ya. Salam untuk keluarga, sihat selalu,” tulis Melly pada Instagram sambil berkongsi video cover itu.
“Keren! Mirip suara Cakra Khan” – Netizen Indonesia
Netizen di Indonesia dan Malaysia memuji suara Bob Yunus dengan mengatakan bahawa suaranya kedengaran seperti gabungan suara Cakra Khan dan Afgan sehingga kebanyakannya netizen rasa meremang dan menusuk ke jiwa mendengar nyanyiannya itu.
Malah, Cakra Khan sendiri sempat memberi reaksi kepada nyanyian Bob Yunus ketika beliau menyanyikan lagu ‘Cinta Dalam Hati’.
“Suara nya bagus sekali. Tone-nya juga sangat baik!””Cakra Khan
Netizen yang turut tumpang gembira dengan kejayaan yang dikecapi oleh Bob ini mengharapkan agar tuah Bob terus bersinar dan mengembangkan lagi bakat nyanyian di Indonesia.
Beliau yang juga merupakan seorang penuntut dalam bidang Pengurusan Pejabat di sebuah universiti tempatan di Kota Samarahan, kini mempunyai seramai lebih 294 ribu pengikut di TikTok dan berhasrat untuk memperluaskan lagi pendengar dan penonton nyanyiannya ke saluran yang lain seperti YouTube.
BACA: [VIDEO] Undang Dekah Netizen, Kerajaan Akhirnya Telah Makbulkan Permintaan Lelaki Ini!
