Baru-baru ini telah tular satu berita “sayu” apabila seorang lelaki mendakwa menerima nasib malang apabila 14 ahli keluarganya maut disebabkan wabak Covid-19.
Tindakan lelaki itu akhirnya ‘kantoi’ dan berita yang disebarkan sebenarnya adalah palsu dan rekaan semata-mata. Perkara ini telah disahkan oleh Petronas, tempat lelaki itu bekerja dalam satu kenyataan yang dibuat semalam.
Dalam kenyataan tersebut, pihak Petronas turut mengesahkan bahawa lelaki itu telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana didakwa membuat dakwaan palsu. Selain itu, pihak syarikat juga dengan keras memberitahu bahawa mereka tidak boleh menerima salah laku daripada mana-mana pekerja mereka.
“Kami ingin mengesahkan bahawa seorang pekerja kontraktor di Kompleks Bersepadu Pengerang telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana didakwa membuat dakwaan palsu kematian ahli keluarga disebabkan Covid-19, yang mana dia juga didakwa telah menerima sumbangan. Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan mereka.
“Kami ingin menekankan bahawa kami tidak menerima salah laku tersebut oleh mana-mana pekerja dan kontraktor kami, yang semuanya terikat dengan tatacara dan etika perniagaan yang ketat (CoBE) semasa melakukan perkhidmatan untuk PETRONAS dan Kumpulan Syarikatnya,” katanya dalam kenyataan media yang dimuat naik di laman web rasmi Petronas.
BACA: Wanita Positif Covid-19 Bersalin Sendirian, Anak Nyaris Jatuh Dari Katil
Terdahulu, tular kisah kononnya seorang lelaki yang bertugas di Petronas Pangerang telah kehilangan seramai 14 ahli keluarga termasuk isteri dan anak disebabkan wabak COVID-19. Dakwaan itu mula menular di aplikasi Whatsapp dan Facebook yang turut diselitkan nama-nama mangsa iaitu ahli keluarga lelaki berkenaan yang kononnya korban COVID-19.

Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penyelia di Petronas Pangerang dikatakan kehilangan isteri dan tiga anaknya meninggal dunia pada bulan Jun dan Julai akibat COVID-19 manakala pada 2 September lalu, lima anaknya bersama ibu, kakak, ipar dan dua anak saudara kononnya terkorban.
DITAHAN PIHAK BERKUASA
Ketua Balai Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, suspek berusia 45 tahun, warga tempatan itu ditahan ketika hadir membuat laporan keterangan tentang kejadian itu di Balai Polis Bayu Damai, di sini, semalam.
Katanya, hasil maklumat dan siasatan pasukan bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kota Tinggi, mendapati aspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat COVID-19 bagi mendapatkan sumbangan derma sejak bulan Jun tahun ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek setakat ini dipercayai menerima sumbangan RM91,000 daripada orang ramai yang bersimpati dengan ceritanya itu.

“Maklumat tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook yang mendakwa lelaki tersebut berdepan dengan ujian berat akibat kehilangan keluarga telah menarik simpati orang ramai untuk memberikan sumbangan derma yang dimasukkan ke dalam akaun bank suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Hussin, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Maklumat tangkapan terhadap suspek adalah berdasarkan kepada maklumat pengadu kes iaitu wakil Petronas.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari 1 tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan sebat, serta boleh dikenakan denda.
RM13.01
