Para saintis menjangkakan krisis iklim dunia bakal berlaku susulan fenomena kilat yang semakin kerap berlaku di bahagian Kutub Utara, lapor CNN.
Menurut syarikat pemantau fenomena kilat sedunia, Vaisala, setakat tahun lalu 7,278 panahan kilat berlaku di Kutub Utara pada latituf 80 darjah. Angka ini hampir dua kali ganda lebih banyak daripada gabungan jumlah kilat sembilan tahun sebelumnya.
Memetik laporan CNN, saintis melihat fenomena luar biasa ini sebagai satu petanda kepada krisis iklim dunia kerana kilat di bahagian Artik sangat jarang berlaku. Fenomena ini turut mengakibatkan bahagian kutub utara menjadi lebih panas, hampir seperti di kawasan iklim tropika.
Jelas ahli meteorologi di Vaisala, Chris Vagasky, keadaan iklim bumi yang kini lebih panas menyebabkan perubahan di persekitaran Artik dan mencetus panahan kilat yang lebih kerap di sana.
“Menurut pemerhatian kami, fenomena kilat dan ribut petir kini merebak ke Siberia menuju Lautan Artik dan terus bergerak ke bahagian Kutub Utara.
“Hawa panas dari kesemua benua kini sedang menuju ke Lautan Artik dan jika perkara ini berlarutan, fenomena ribut juga akan terjadi di sana,” jelas Vagasky ketika dihubungi CNN.
Malah salah seorang pengkaji dari Universiti California, Jose Martinez-Claros turut merasakan penemuan ini satu perkara yang membimbangkan. Martinez-Claros berpendapat fenomena ribut ini telah ‘tersasar’ lebih jauh dari yang sepatutnya.
“Nampaknya kejadian ribut seperti ini sudah sampai ke latitud yang lebih jauh dari sepatutnya dan ia semakin hampir dengan Artik,” katanya.
Sumber: CNN
