ALOR GAJAH – Seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) tidak sempat meraikan majlis konvokesyennya apabila maut dalam kemalangan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Terminal Kenderaat Berat di sini, semalam.
Mangsa, Marfuza Arnida Marrudzuki, 23, yang merupakan graduan Pengajian Sains Kesihatan disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 malam tadi selepas lapan jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.
Dalam satu hantaran ucapan takziah dibuat Majlis Perwakilan Pelajar USM Kubang Kerian, Kelantan, mangsa dikatakan sepatutnya menghadiri majlis konvokesyennya di kampus itu pada 25 November ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi semalam ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di sebuah restoran makan segera di Ayer Keroh.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang mangsa tunggang tiba-tiba melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 24 tahun di persimpangan lampu isyarat.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami pendarahan di bahagian perut dan dikejarkan ke Hospital Melaka. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 malam tadi ketika menerima rawatan,” katanya.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas pemandu Myvi berkenaan didapati positif ganja.
“Kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kami meminta saksi bebas agar tampil bagi membantu siasatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.
Sumber: Kosmo Online
RM13.01
