Akhirnya, selepas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri berkenaan kebenaran pengoperasian semula pawagam pada minggu lepas, kini dua operator pawagam terbesar di Malaysia iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV mengumumkan tarikh pembukaan semula premies hiburan itu kepada individu yang lengkap divaksin.
Semalam GSC telah membuat satu posting di Instagram mengumumkan bahawa 17 cawangannya serta Aurum Cinemas di Lembah Klang, wilayah Utara dan Selatan akan dibuka pada 16 September sempena sambutan Hari Malaysia.
Turut dimaklumkan, lebih banyak pawagam mereka di lokasi lain juga akan mula dibuka semula pada minggu berikutnya bermula 23 September.
Manakala Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran TGV Cinema, Mohit Bhargava dalam kenyataan pada Isnin mengesahkan pembukaan semula pawagam milik syarikat itu dan mengalu-alukan kedatangan penonton yang telah lengkap divaksin ke premis hiburan tersebut mulai 23 September.
Kenyataan itu menyebut keputusan dibuat selepas berunding dengan studio untuk mendapatkan kelulusan badan penapis tempatan bagi filem mereka.

Penonton pasti boleh menjangkakan barisan filem menarik yang bakal ditayang sempena pembukaan semula pawagam itu termasuk Black Widow yang dibintangi Scarlett Johansson, Jungle Cruise (Dwayne Johnson) dan No Time To Die (Daniel Craig) pada September ini.
Pawagam di negeri di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara telah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus bermula 9 September lepas dan hanya individu yang melengkapkan vaksinasi Covid-19 dibenar memasuki premis hiburan itu.
BACA: Pawagam Kini Dah Boleh Beroperasi Bermula 9 September
