JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) merekodkan sebanyak 499 kebakaran hutan dan tanah sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi BNPB, Abdul Mhari berkata, jumlah kes kebakaran hutan tahun ini lebih tinggi berbanding tiga tahun lalu.
Katanya, sejak 2020 hingga 2022, jumlah kebakaran hutan dan tanah adalah di bawah 300.
“Dalam tiga tahun terakhir keadaan cuaca dan suhu dipengaruhi fenomena El Nina, maka kebakaran hutan sedikit terkawal.
“Namun, pada tahun ini, baru masuk bulan Ogos, jumlah kebakaran sudah menghampiri 500 kes, dan jumlah itu tidak termasuk kes yang belum direkodkan,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Abdul menjelaskan, kebakaran hutan itu dipengaruhi El Nino dan menjangkakan kes kebakaran hutan pada tahun depan akan lebih parah.
Hal ini kerana, El Nino yang berlaku pada tahun ini disifatkan sebagai sederhana, namun ia boleh berubah menjadi lebih serius pada tahun depan.
“Pada tahun depan, El Nino diramalkan pada skala sederhana hingga kuat dan tidak mustahil jika berlaku lebih banyak kebakaran hutan.
“Sehubungan itu, semua pihak termasuk masyarakat perlu mengambil langkah berhati-hati supaya tidak memburukkan lagi kebakaran hutan yang berlaku,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
