SKUAD Harimau Malaya perlu mengutip sekurang-kurangnya 12 mata sekiranya mengimpikan harapan untuk layak ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026, sekali gus berada dalam kelompok 18 negara terbaik Asia.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan, kutipan mata itu cukup realistik tetapi pada masa sama mahu barisan pemain memberikan fokus terlebih dahulu pada satu perlawanan ke satu perlawanan.
Menurut Pan-gon, tumpuan utama adalah untuk memulakan aksi pertama Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan langkah kanan.
“Kita ada enam perlawanan penting di peringkat kumpulan dan semuanya cukup penting. Sasaran pasukan adalah mengutip tiga mata pada setiap perlawanan.
“Mungkin ketika bertemu Oman, kita boleh cipta kejutan dan siapa tahu kita boleh mendapat enam mata maksimum sewaktu menentang Taiwan. Namun, cukup penting untuk kita melakar keputusan positif dahulu bertemu Kyrgyzstan.
“Jika ditanya mengenai kutipan mata keseluruhan untuk layak, saya rasa 12 mata keseluruhan daripada enam perlawanan cukup bagus tetapi lebih manis andai mengutip 13 mata,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Sementara itu, pengendali import dari Korea Selatan itu turut berharap agar ramai penyokong hadir membanjiri stadium kerana ini adalah perlawanan terakhir Harimau Malaya di laman sendiri tahun ini.
“Saya meletakkan harapan tinggi agar kehadiran penyokong dapat meningkat pada hari perlawanan nanti kerana kita memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Kita perlu buat lawan gentar dengan pasukan dan perlukan penyokong untuk memberikan suasana tersebut.
“Ini adalah permulaan awal kelayakan Piala Dunia 2026 dan inilah peluang untuk kita bantu pasukan layak ke peringkat seterusnya,” katanya.
Sumber: Kosmo Sukan
RM13.01
