YANGON: Tentera Myanmar mula melancarkan serangan dari udara dan laut dalam usaha menawan semula sebuah bandar pelabuhan Pauktaw di Teluk Bengal, kata pakatan pembangkang hari ini.
Junta tentera yang merampas kuasa daripada kerajaan pada 2021, ketika ini sedang memerangi serangan terkoordinasi yang dilancarkan sejak bulan lalu oleh pakatan tiga kumpulan pemberontak etnik minoriti, serta pejuang pro-demokrasi bersekutu yang mula mengangkat senjata sejak rampasan kuasa.
“Tentera menyerang bandar Pauktaw dengan helikopter dan tembakan artileri dari kapal tentera laut selepas kami menakluk balai polis bandar itu pada waktu pagi.
“Pada waktu petang, tentera junta datang ke bandar dan menembak serta membunuh orang awam,” kata Three Brotherhood Alliance di saluran Telegramnya, merujuk kepada pertempuran di Rakhine, barat Myanmar semalam.
Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan itu malah jurucakap junta juga tidak menjawab permintaan ketika ditanya.
Serangan itu digelar perikatan pemberontak sebagai ‘Operasi 1027’ menjadi tentangan terbesar yang pernah dihadapi oleh junta selama bertahun-tahun.
Tiga kumpulan pemberontak yang sejajar dengan pejuang pro-demokrasi dan kerajaan awam pro-demokrasi sudah menawan beberapa bandar dan pangkalan tentera di seluruh negara.
Portal berita Irrawaddy, yang memetik seorang penduduk Pauktaw berkata, anggota kumpulan gerila Arakan Army (AA) sudh menguasai bandar itu.
“Semua penduduk melarikan diri. Tidak ada orang di bandar, semua kedai ditutup,” kata penduduk.
Pertempuran juga terjadi di Negeri Shan yang bersempadan dengan China dengan pemberontak tekad mahu merampas kawalan kawasan itu daripada junta dan menghapuskan pusat penipuan dalam talian yang dijalankan secara haram di sana.
Beberapa minggu sebelum pertempuran itu, pegawai China menggesa junta mengambil tindakan lebih tegas terhadap pusat penipuan yang menjadi penempatan warga China dan warga asing lain, sebagai mangsa pemerdagangan manusia.
Jurucakap Junta, Zaw Min Tun, pula menuduh pakatan pemberontak cuba mendapatkan sokongan China untuk tujuan mereka itu.
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
