PAUL Pogba enggan membuka mulut mengenai kontrak baharu daripada Manchester United.
Pemain tengah 28 tahun itu kini hanya fokus untuk kembali pulih daripada kecederaan dan kelab masih tidak membuat sebarang tawaran sambungan kontrak.
Kontrak Pogba bakal berakhir penghujung musim ini dan kini dia bebas untuk berbincang dengan mana-mana kelab di luar England termasuk Real Madrid, Paris St-Germain dan Juventus berdasarkan kesesuaiannya.
Sebelum ini timbul laporan mendedahkan bahawa United telah menawarkan Pogba dengan kontrak baharu dengan gaji 500,000 paun (RM2.4 juta) seminggu.
Bagaimanapun jurucakap pemain itu menafikan laporan tersebut malah mendakwa belum sebarang tawaran ‘di atas meja’.
“Untuk menjelaskan laporan media, Paul masih belum menerima sebarang tawaran kontrak baharu.
“Paul kini hanya fokus untuk pemulihan kecedraan dan mahu membantu pasukan secepat mungkin,” jelas jurucakap pemain itu kepada Dailymail.
Pogba yang berpindah ke Old Trafford dengan nilai 89 juta paun dari Juventus pada tahun 2016 tidak beraksi sejak November lalu berikutan kecederaan pangkal paha.
Ini bermakna dia belum membuat sebarang penampilan bersama pengurus sementara Ralf Rangnick yang mengambil alih tugas Ole Gunnar Solskjaer.
