Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan pengunjung Konsert Riuh Sokmo! yang terkinja-kinja semasa syok melayan konsert tersebut adalah di luar kawalan kerajaan negeri.
Namun ujarnya, kerajaan Kelantan tidak berhasrat untuk mengharamkan konsert di negeri Serambi Mekah tersebut pada masa akan datang, sebaliknya, garis panduan yang lebih ketat akan dikenakan.
“Kalau benda ini diikuti memang sudah memenuhi kehendak kerajaan, cuma reaksi penonton itu suatu benda yang kena diberi perhatian. Dan saya rasa benda ini pihak penganjurlah yang perlu beri perhatian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh astro AWANI yang memintanya mengulas mengenai beberapa video yang menyaksikan pengunjung konsert tersebut sedang menari-nari dan terangguk-angguk mengikut rentak muzik.
“Maknanya, dalam sepanjang perjalanan program itu, sepatutnya penganjur melalui jurucakap acara ataupun sesiapa sahaja boleh memberi peringatan kepada penonton supaya menjaga kelakuan,” ujarnya lagi.
Pada masa hadapan juga, Naib Presiden PAS itu berkata, pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan setiap konsep persembahan atau lagu-lagu dipilih dengan lebih cermat.
“Kalau lagu salah, lagu rock sebagai contoh, memang penyanyi dan penonton dia akan jadi macam terkinja-kinja. Tapi kalau lagu itu lagu yang biasa, mungkin tak jadi terkinja-kinja,” tambah Datuk Mohd Amar.
Konsert yang berlangsung baru-baru ini dihadiri oleh artis-artis seperti kumpulan Wings, Azumi The Penthemix, Faizal Tahir dan ramai lagi.
BACA: ‘Konsert Riuh Sokmo!’ Masih Lagi Mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Kerajaan Kelantan
Sumber: astro AWANI
RM13.01
