JAKARTA: Indonesia mengurangkan hampir separuh pengeluaran di loji jana kuasa arang batu utama berhampiran ibu negara selepas bandar raya itu berdepan peningkatan pencemaran dalam skala besar, beberapa minggu kebelakangan ini, kata pengendali kepada AFP hari ini.
Pengurangan itu dibuat seminggu sebelum Indonesia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dengan pegawai tinggi dari Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea Selatan turut hadir pada persidangan itu dalam usaha menangani beberapa isu serantau.
Ibu kota besar yang menempatkan kira-kira 30 juta penduduk itu mendahului kedudukan pencemaran global untuk tempoh beberapa kali bulan lalu, menurut pemantau kualiti udara, IQAir yang berpangkalan di Switzerland, ketika krisis asap toksik yang memudaratkan membayangi mesyuarat itu.
“Sejak 29 Ogos, Perusahaan Listrik Negara (PLN) telah menurunkan pengeluaran loji jana kuasa arang batu Suralaya sebanyak 1,600 megawatt untuk menyumbang dalam meningkatkan kualiti udara Jakarta,” kata pengurus besar pengendali loji itu, Irwan Edi Syahputra Lubis.
Beliau berkata loji yang terletak di hujung barat Pulau Jawa yang dihuni paling ramai penduduk di Indonesia, sekitar 100 kilometer dari pusat bandar, Jakarta, kini akan beroperasi untuk menjana 1,800 megawatt.
Pegawai itu bagaimanapun tidak memberi perincian berapa lama pemotongan kuasa akan dikekalkan atau jika langkah itu akan diteruskan.
Sebaliknya, firma itu memaklumkan akan mengikut arahan daripada kerajaan Indonesia.
Indonesia sebelum ini berikrar untuk menghentikan pembinaan loji jana kuasa arang batu baharu mulai 2023 dan menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.
Bagaimanapun, loji arang batu Suralaya di pulau Jawa masih diperluaskan untuk menempatkan 10 unit di dalam kompleks loji itu, walaupun mendapat bantahan daripada aktivis alam sekitar.
Memandangkan kritikan berhubung kualiti udara yang semakin teruk, Indonesia bertindak balas dengan menggantung 11 firma perindustrian kerana gagal memenuhi piawaian operasi dan mengarahkan separuh penjawat awamnya bekerja dari rumah. – AFP
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
