SEKALI lagi kekuatan servis Zulkifli Razak atau Sobey memacu kemenangan Kelantan Warriors ke atas Johor Tigris 2-0 dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad.
Mendahului 14-10 di set pertama memaksa jurulatih Tigris, Ahmad Jais Baharom meminta ‘time-out’ untuk menenangkan pemainnya yang sedikit tertekan dan serba tidak menjadi.
Tigris juga melakukan dua pertukaran serentak namun masih belum cukup untuk menghalang Warriors menang 21-16 dalam masa 25 minit.
Variasi servis Sobey makin menjadi dan kali ini dengan ketajaman Naim Izani sambil dibantu lambungan cantik Kapten, Aidil Aiman Azwawi membolehkan Warriors menang bergaya 21-11 sambil hadiahkan kekalahan kedua kepada Tigris.
Perejam Warriors, Naim Izani masih belum berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan terutama lambungan bola yang tidak konsisten kepada Sobey.
“Saya masih belum berpuas hati mengenai perkara itu (lambungan bola) dan akan cuba membuat yang terbaik dalam sesi latihan selepas ini,” katanya.
Kemenangan kedua ini menyaksikan Kelantan Warriors melonjak ke tangga kedua liga, berkongsi mata dengan pendahulu ATM Guardians namun terpisah melalui kiraan set menang.
RM13.01
