GABUNGAN pemain muda dan berpengalaman menjadi taruhan terbaik skuad Kelantan Warriors dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) yang akan membuka gelanggang di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini.
Kesungguhan yang ditunjukkan pemain di bawah Ketua Jurulatih, Azhar Sarbini sepanjang kem latihan intensif yang diadakan di GMI menarik perhatian pengurus pasukan, Fairul Rafiq Zainuddin yang cukup yakin mereka sudah bersedia untuk menjadi pencabar terkuat kejuaraan liga kali ini.
“Kami telah mula berkampung di GMI pada 28 Disember lepas. Sesi latihan yang dikendalikan oleh jurulatih, Cikgu Add (Azhar) dan Baharil Anuar cukup sistematik dan menunjukkan perubahan ketara terutamanya dalam aspek kecergasan dan konsisten dalam aspek permainan.
“Kehadiran Tekong Emas Sukan Asia, Muhammad Zulkifli Abd Razak atau Sobey jelas menyuntik keyakinan terhadap pasukan ini. Begitu juga dengan kemampuan dan pengalaman yang dimiliki kapten Aidil Aiman Azwawi, Fadzli Roslan, Muhamad Nazmi Najib dan Wan Naim Izani Mohd Noor.
“Harap mereka mampu membimbing dua pemain muda iaitu Eqbal Shamsudin dan Nik Muhammad Afiq Mazlan yang turut disenaraikan musim ini,” ujarnya.
Fairul Rafiq juga berharap dua siri aksi persahabatan yang diatur menjadi medan terbaik kepada barisan kejurulatihan untuk mengesan sebarang kelemahan yang ada sebelum turun ke gelanggang menentang Perak Bison malam ini.
“Kami juga sempat mengadakan perlawanan persahabatan menentang dua pasukan Liga Perdana iaitu ATM Guardians dan Putrajaya Cyborg.
“Barisan jurulatih berjaya mengenalpasti beberapa kelemahan yang ada dan akan pastikan pemain yang bakal diturunkan dalam aksi pembukaan menentang Perak Bison berada pada tahap prestasi terbaik.
“Pemain sudah tidak sabar untuk beraksi dan saya harap gabungan pemain pengalaman dan muda mampu menghasilkan keputusan yang positif, malam ini.
“Bison memiliki tekong import dari Thailand, Anuwat Sombatdee dan Meor Zulfikar Mat Amin.
“Kami perlu memperkuatkan pertahanan dan mengurangkan kesilapan mudah untuk beri tekanan kepada lawan,” ujarnya.
