Pantas waktu berlalu, pejam celik pejam celik dah masuk tahun 2022. Bila dah masuk bulan Januari ni, korang rasa tak macam bulan ni terlalu lama? Rasa macam dah hujung bulan tapi sebenarnya baru 13 Januari.
Bukan tahun ni je tau, memang setiap tahun akan rasa macam ni padahal bulan Januari sama je macam bulan-bulan yang lain, ada 31 hari juga. Kenapa boleh jadi macam ni?
Untuk pengetahuan korang, ahli saintis dan ahli psikologi pernah menjelaskan mengenai ‘fenomena’ ni. Kata mereka, keadaan tersebut berlaku disebabkan oleh konsep ‘persepsi masa’.
Ahli psikologi, William Skylark, menerusi jurnalnya “Time Perception: The Surprising Effects of Surprising Stimuli” berkata bahawa manusia mengalami atau melalui masa secara berbeza berdasarkan pengaruh pelbagai faktor.
Merujuk kepada keadaan di bulan Januari ni, ia terasa sangat lama kerana kebanyakan daripada kita hanya fokus kepada urusan kerja atau belajar saja. Berbeza pada bulan Disember yang memperlihatkan kita semua bercuti dan mempunyai pelbagai rancangan yang menarik seperti melancong dan meluangkan masa bersama keluarga.
Ia dikuatkan lagi dengan hujah yang dikeluarkan oleh Dr Zhenguang Cai dari Kolej Universiti London. Menurutnya, selepas cuti Krismas maka bermulalah bulan Januari yang membosankan, membuatkan ramai yang menganggap Januari berlalu dengan sangat perlahan.

Selain itu, ‘fenomena’ ini juga paling mudah dijelaskan oleh hipotesis jam dopamin yang menyatakan bahawa apabila tahap dopamin lebih tinggi, neurotransmitter dalam otak manusia yang dikaitkan dengan motivasi dan ganjaran telah mempercepatkan ‘jam dalaman’, menjadikan masa kelihatan seperti berjalan lebih cepat.
Terdapat satu kajian yang dijalankan pada tahun 2010 yang memperlihatkan 37 orang pelajar universiti diberikan sekeping teks yang panjang dan mereka diminta untuk menggariskan semua perkataan dengan gabungan dua huruf di dalamnya. Satu kumpulan pelajar menghabiskan 20 minit untuk tugasan tersebut, manakala satu kumpulan lagi menghabiskan masa selama lima minit. Kedua-dua kumpulan bagaimanapun diberitahu bahawa tugasan itu mengambil masa 10 minit.
Para pelajar kemudiannya diminta membuat penilaian masa retrospektif. Ini salah satu cara untuk ‘menghakimi’ perasaan korang setiap kali korang merasakan Januari terlalu panjang. Lihat kembali peristiwa atau tempoh masa dan buat penilaian tentang berapa lama korang berfikir atau merasakannya.
Para pelajar yang telah menghabiskan lima minit untuk tugasan itu, tetapi telah diberitahu oleh penyelidik bahawa mereka telah menghabiskan masa selama 10 minit untuk itu, merasakan bukan sahaja masa berlalu dengan sangat cepat, tetapi mereka juga lebih menikmati tugas itu.
Sebenarnya, Januari dirasakan panjang kerana kita lebih mengetahui masa yang sedang berjalan pada ketika ini. Cara kita melihat masa, iaitu sekurang-kurangnya dalam tempoh masa yang agak panjang mencerminkan perasaan kita.
Sumber: Buzz, The New Statesman
