Baru-baru ini, sempat tular di media sosial beberapa hantaran serta video berkait dakwaan vaksin COVID-19 yang hampir atau telah mencapai tarikh luput diberikan kepada penerima vaksin.
Menurut kenyataan Pengarah Perkhidmatan Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norhaliza A Halim hari ini, beliau memaklumkan bahawa sesetengah dakwaan tidak dapat disiasat sewajarnya ekoran maklumat lokasi dan tarikh kejadian serta butiran produk yang diberikan tidak dinyatakan.
Pun begitu, hasil semakan KKM mendapati tiada stok vaksin COVID-19 yang luput dibekaklkan kepada Pusat Simpanan Vaksin (PSV) atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Pada masa yang sama, KKM turut menjelaskan, penentuan jangka hayat bagi produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan oleh pihak pengilang.
“Selain itu, tempoh jangka hayat produk vaksin COVID-19 juga akan berubah sekiranya terdapat perubahan kepada suhu penyimpanan. Oleh yang demikian, tarikh luput baharu akan diberikan kepada produk tersebut. Produk masih selamat untuk diadministrasi selagi mana ia belum melangkaui tarikh luput baharu tersebut,” jelas KKM.
Ujar kenyataan tersebut, NPRA telah meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty daripada enam bulan kepada sembilan bulan, vaksin CoronaVac yang dikilangkan oleh Sinovac China (daripada sembilan bulan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac yang dikilangkan Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam bulan kepada sembilan bulan).
Tambah Haliza, KKM sentiasa komited dalam memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin COVID-19 yang dibekalkan kepada masyarakat di Malaysia telah dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD)

Sumber: KKM
