KUALA LUMPUR – Nasib penyampai radio, Ismahalil Hamzah atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu akan diketahui 27 Februari ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Keputusan sama ada Ismahalil dilepas atau diperintah membela diri diakhir pendakwaan akan diputuskan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang telah selesai mendengar perbicaraan kes tersebut.
Sementara itu peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Ismahalil ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan tarikh keputusan kes itu bulan depan.
Menurut peguam tersebut, mahkamah telah memutuskan tarikh hujahan bertulis pada 9 Februari dan hujahan lisan berserta keputusan jatuh pada 27 Februari ini.
Sebelum ini, perbicaraan telah berlangsung pada 19, 20 dan 31 Oktober tahun lalu selain bersambung pada 3 dan 9 Januari lalu dengan lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim.
Selain Adi Zulkarnain, peguam lain yang turut mengendalikan kes ialah Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.
Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan mengedar dadah selepas pengakuan direkodkan buat pertama kali.
Mengikut pertuduhan Ismahalil didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis iaitu 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sebelum itu pada 27 Januari tahun lalu tahun sama Mahkamah Majistret di sini membenarkan kes Ismahalil dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Ia selepas peguam Adi Zulkarnain ketika itu memaklumkan laporan kimia telah diperoleh yang mana berat dadah itu turun dari 409 gram seperti dalam pertuduhan kepada 374.6 gram.
Kes dadah itu dipindah dan dibicarakan ke Mahkamah Tinggi berikutan hukuman bagi pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo Online
