PETALING JAYA – Skuad bawah 23 (B-23) negara mempamerkan belang sebenar apabila melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Filipina pada aksi kedua Kumpulan H kelayakan Piala Asia B-23 2024 sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Chonburi, Thailand itu, skuad negara kendalian E. Elavarasan membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Mukhairi Ajmal, Fergus Tierney dan Luqman Hakim Shamsudin mengetuai jentera serangan.
Pasukan muda Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk ‘berpesta’ apabila Mukhairi selaku kapten menjaringkan gol pembukaan seawal minit pertama perlawanan.
Momentum cemerlang skuad kebangsaan berterusan apabila kini giliran pemain sayap Kuala Lumpur City (KL City), T. Saravanan menjaringkan gol kedua buat negara berselang lima minit kemudian.
Dominasi pasukan terus terbukti dengan pemain pertahanan, Harith Haiqal turut mencetak nama selaku penjaring sekali gus meletakkan kedudukan 3-0 sebelum berakhir babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, pasukan Filipina berusaha untuk merapatkan kedudukan dengan melakukan asakan tetapi pertahanan negara yang diketuai penjaga gol, Azim Al Amin cemerlang mengawal keadaan.
Saravanan terus membuktikan ketajaman dihadapan gawang apabila berjaya meledak gol kedua peribadi selepas menerima hantaran Tierney pada minit ke-64.
Tierney hampir meraih gol tetapi percubaan yang dilakukannya pada penghujung perlawanan sekadar menggegar palang gol dengan keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan dengan aksi terakhir menentang tuan rumah, Thailand pada Selasa ini. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo Sukan
RM13.01
