JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengingatkan para calon yang bertanding dalam Pilihan Raya 20204 (Pemilu) supaya tidak sombong sekiranya menang dan jangan ‘mengamuk’ apabila kalah.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika berucap dalam majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 Parti Golkar di Jakarta, kelmarin.
“Kita kena ingat dari sekarang, kalau menang (dalam Pemilu) tahun depan, kita jangan sombong, bongkak.
“Begitu juga kalau kita kalah, jangan kita marah-marah, mengamuk sana sini,” katanya.
Bekas Gabenor Jakarta itu juga mengingatkan semua calon supaya sentiasa ingat matlamat pilihan raya, iaitu demi bangsa dan negara.
Katanya, Pemilu merupakan pertandingan antara keluarga sendiri dan sesama anak bangsa.
“Pemilu ini adalah pentas pertandingan antara anak bangsa Indonesia, jadi jangan ada sengketa, jangan ada hasad dengki, kita bertanding demi kesejahteraan negara dan masyarakat.
“Kita buat yang terbaik dan biar rakyat tentukan siapa pilihan mereka, usah ribut-ribut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jokowi memaklumkan terdapat ‘banyak drama’ sejak akhir-akhir ini sambil merujuk kepada situasi politik negara.
“Terlalu banyak sinetron kita lihat sejak kebelakangan ini dan saya ingin beritahu sekali lagi, Pemilu adalah medan pertandingan idea terbaik untuk dipilih rakyat.
“Bukannya tempat untuk bertanding perasaan, emosi siapa yang paling kuat, paling lantang,” ujarnya.
Jokowi dijadualkan tamat perkhidmatan sebagai Presiden Indonesia pada Oktober tahun depan.
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
