Motosikal Bergesel, Pelajar Tingkatan Tiga Maut Dalam Kemalangan
Pelajar tingkatan tiga didapati maut dalam kemalangan apabila motosikal yang dibawanya bergesel dengan kenderaan lain di Jalan Salor Baru, pada Jumaat.
Menurut Sinar Harian, kemalangan tragis terbabit telah melibatkan tiga buah kenderaan iaitu, dua motosikal dan sebuah kereta.
Kejadian ngeri itu berlaku kira-kira jam 3.00 petang ketika remaja tersebut menunggang motosikal dari arah Pasir Mas menghala ke Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 bergesel dengan sebuah motosikal lain ketika berada di lokasi terbabit.
Jenis dan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang oleh penunggang terbabit bagaimanapun tidak dapat dikenalpasti.
“Akibat pergeselan itu, mangsa memasuki laluan bertentangan dan terlanggar sisi hadapan sebelah kanan sebuah kereta yang dipandu seorang warga emas berusia 66 tahun,” katanya melalui kenyataan pada hari ini.
Jelas Mohd Rosdi, mangsa kemudian telah tercampak dan terjatuh ke atas jalan raya. Tidak lama selepas itu, mangsa tersebut telah disahkan meninggal dunia ketika masih berada di lokasi kejadian.
Manakala, pemandu kereta yang merupakan seorang warga emas yang berusia 66 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
BACA: Jangan Lepaskan Ikan Baung Ekor Merah Sesuka Hati Demi Selamatkan Ekosistem Sungai
Orang ramai diseru untuk tampil bantu siasatan
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Rosdi menjelaskan bahawa pendakwaan terhadap punca kemalangan boleh dihukum di bawah akta yang sama jika disabitkan kesalahan.
“Jika didapati bersalah, boleh dihukum tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000,” ujarnya.
Orang ramai dimohon tampil membantu siasatan melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Kata beliau, anda juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Adilla Morni Ahmad Mahmud di talian 09-7752355.
BACA: Cara Fresh Grad Nak Buat Resume Mantap Abad Ke-20
Sumber: Sinar Harian
Artikel asal oleh: Siakap Keli
RM13.01
