Dalam banyak-banyak industri yang terkesan semenjak pandemik melanda negara kita, industri pawagam adalah antara yang paling terjejas sekali. Bukan sahaja terhadap pengusaha pawagam, tetapi lebih 20,000 kakitangan dalam industri tersebut turut mengalami impaknya.
Selepas lama ditutup, pengusaha panggung wayang bersedia untuk kembali beroperasi, namun dengan syarat hanya individu yang sudah lengkap divaksinasi sahaja dibenarkan memasuki pawagam.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas (GSC) Group, Koh Mei Lee berkata, pengunjung serta kakitangan pawagam juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang berada di kawasan tersebut.
Menurutnya, walaupun sudah lama tidak beroperasi, namun pengurusan GSC sentiasa memastikan semua fasiliti di pawagam dalam keadaan baik dan kakitangan yang akan melayan pelanggan nanti juga sudah menerima vaksinasi yang lengkap.

“Pawagam selalu mempunyai SOP yang ketat tetapi untuk pembukaan semula ini, kami hanya akan membenarkan pelanggan yang diberi dua dos vaksin sahaja untuk masuk. Sijil digital MySejahtera akan menjadi syarat untuk masuk,” kata Mei Lee.
Tambahnya lagi, banyak negara sudah mula membenarkan pawagam beroperasi namun di Malaysia, keadaannya berbeza malah panggung wayang adalah yang pertama ditutup namun terakhir dibenarkan beroperasi semula.
BACA: Langkawi Dibuka Untuk Pelancongan Bermula 16 September
Jelasnya, setakat ini tiada kluster dari pawagam dan pembukaan semula pastinya memberi manfaat kepada lebih 20,000 kakitangan dalam industri tersebut.

“Rakyat Malaysia telah terkurung lebih dari setahun sekarang.”
“Kami merayu agar panggung wayang dibuka kerana kami ingin memberi peluang kepada rakyat yang sudah divaksin penuh, satu tempat yang kosnya berpatutan dan selamat untuk hilangkan tekanan, bersantai dan sekali gus memenuhi kesihatan emosi dan mental mereka yang terjejas teruk selama ini.”
“Saya juga ingin menekankan bahawa, kita adalah salah satu industri yang mempunyai SOP yang paling ketat,” ujarnya.
Sumber: Astro Awani
