SYDNEY: Kerajaan Australia memaklumkan sedang menyelaraskan tindak balas terhadap insiden keselamatan siber yang memaksa pengendali pelabuhan DP World Australia menggantung operasinya di beberapa negeri.
Jurucakap DP World Australia berkata, operasi di pelabuhan yang terjejas masih belum dapat dipulihkan.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bekerja keras untuk memulihkan operasi normal dengan selamat selepas insiden itu dikesan semalam.
Menteri Dalam Negeri Clare O’Neil menerusi platform media sosial X berkata, kerajaan sedang menyelaraskan tindak balas terhadap masalah itu.
“Penyelaras Keselamatan Siber Kebangsaan Australia yang dilantik awal tahun ini sebagai tindak balas kepada beberapa pelanggaran data utama, sedang menguruskan respons rasmi terhadap insiden itu,” kata O’Neil.
DP World Australia yang merupakan sebahagian daripada gergasi pelabuhan milik kerajaan Dubai mengendalikan empat terminal kontena di Australia di Melbourne, Sydney, Brisbane dan Fremantle.
Menurut DP World, syarikat itu menggaji lebih daripada 7,000 orang di rantau Asia Pasifik dan mempunyai pelabuhan serta terminal di 18 lokasi.-REUTERS
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
