Baru-baru ini telah viral sebuah video yang memaparkan seorang lelaki bertindak menyerang seorang pengawal keselamatan yang akhirnya meninggal dunia pada hari Jumaat, 27 Ogos, akibat komplikasi dari kecederaan yang dialaminya ketika dia diserang dengan kejam ketika bertugas pada bulan Disember tahun lalu.
Posting itu telah dimuatnaik di Facebook oleh ahli keluarga mangsa yang juga turut memuatnaik beberapa gambar mangsa.
Salah satu daripadanya merupakan tangkap layar dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berjaya merakam kejadian serangan tersebut.

Gambar-gambar lain menunjukkan keadaan mangsa yang semakin merosot dalam lapan bulan terakhir sejak dia dimasukkan ke hospital hingga hari mangsa meninggal dunia di rumahnya.
Posting itu menjadi viral dengan lebih dari 13,000 perkongsian dan terdapat beratus-ratus komen dari netizen yang turut bersimpati dan marah dengan kejadian yang berlaku.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada pagi 29 Disember 2020 di sebuah kondominium di Ipoh, Perak. Suspek yang menyerang pengawal itu dikatakan hanya tinggal di sana sebagai tetamu homestay bersama keluarganya dan telah turun ke kawasan kolam renang di tingkat 7 bersama anaknya.
Namun, kerana prosedur operasi standard (SOP) yang berlaku pada waktu di bawah Perintah Kontrol Pergerakan Bersyarat (CMCO), para tetamu dimaklumkan bahawa hanya kolam renang dewasa sahaja yang dibuka dan kolam renang untuk kanak-kanak tidak dibenarkan untuk beroperasi.

Polis klasifikasi semula kes sebagai bunuh
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.
“Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa tersebut meninggal dunia di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
“Kes ini masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwa raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Sabtu lepas, Mior Faridalathrash berkata susulan insiden pada 29 Disember itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lepas kerana mendatangkan kecederaan parah, dan kes akan disebut semula pada 9 September ini.
Pengawal keselamatan itu meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat dan hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (Sepsis).
Ahli keluarga pengawal keselamatan berkenaan bagaimanapun tidak berpuas hati dan mendakwa punca kematian adalah disebabkan kejadian pukul tahun lepas.
Sumber: Astro Awani
BACA: Kes Kematian Pengawal Keselamatan, Lelaki Berdepan Tuduhan Membunuh
