Penunggang Motosikal Rempuh Anggota JPJ Tiada Lesen, Tamat 2012
Penunggang motosikal yang merempuh seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disahkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) miliknya telah tamat tempoh pada tahun 2012 lalu.
JPJ dalam satu kenyataan mengesahkan perkara tersebut rentetan rakaman tular memaparkan seorang anggota dirempuh penunggang berkenaan sehingga cedera.
“Kejadian berlaku apabila seorang penunggang motosikal Yamaha Y125ZR telah melanggar sekatan dan merempuh anggota yang bertugas di lokasi penguatkuasaan pada jam 11 pagi.
“Hasil daripada siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan, penunggang motosikal tersebut masih mempunyai dua senarai hitam masih aktif dan telah diambil tindakan di bawah APJ,” katanya.
Menurut JPJ, kesalahan direkodkan adalah LKM sudah tamat tempoh pada 18 Julai 2012, tiada perlindungan insurans dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL).
Justeru tindakan diambil adalah di bawah Seksyen 23(1) (bagi LKM tamat tempoh); Seksyen 90(1) (tiada perlindungan insurans); Seksyen 26(1) (bagi tiada CDL) dan difahamkan motosikalnya disita di bawah Seksyen 64(1).
“Satu laporan polis telah dilakukan dan penunggang motosikal tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” menurut kenyataan itu.
BACA: Tular Warga Asing Ditahan Tiada Lesen, Polis Sahkan Motosikal Dinaiki Milik Anggota PDRM
Artikel asal oleh: Siakap Keli
RM13.01
