Walaupun kelihatan serupa, sebenarnya terdapat beberapa perbezaan yang ketara
Perayaan Budaya Sarawak Dan Sabah, Ini Beza Antara Pesta Kaamatan Dan Gawai Dayak. Sarawak dan Sabah sering dilihat sebagai ‘adik beradik’, disebabkan lokasi kedua-dua wilayah itu terletak di Borneo.
Oleh kerana lokasi yang dikongsi, tidak hairanlah segelintir budaya mungkin serupa. Sebagai contoh, kedua-dua Sarawak dan Sabah menyambut perayaan pesta menuai. Tetapi tahukah anda bahawa sebenarnya terdapat perbezaan antara kedua-dua perayaan tersebut?

Siapa sambut Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak?
Sambutan Pesta Kaamatan disambut oleh masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus di Sabah. Manakala untuk Gawai Dayak, perayaan itu disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak, terutamanya kaum Iban dan Bidayuh.
Perlu diperhatikan bahawa sambutan Pesta Kaamatan akan disambut pada 30 dan 31 Mei setiap tahun, manakala Gawai Dayak akan disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.


Mengapa ia disambut?
Tujuan Pesta Kaamatan disambut adalah untuk meraikan penghujung musim menuai padi dan memohon kesuburan tanah untuk musim tanam yang akan datang.
Bagi Gawai Dayak pula, ia diraikan untuk meraikan penghujung musim menuai padi dan memohon keselamatan serta kemakmuran masyarakat Dayak.
Bagaimana ia biasanya diraikan?
Acara utama yang sering dinanti-nantikan sempena perayaan Pesta Kaamatan adalah pertandingan Unduk Ngadau (ratu kecantikan Kaamatan). Tarian tradisional seperti tarian Sumazau juga akan dipersembahkan.
Terdapat juga persembahan ritual dikendalikan oleh Bobolian (gelaran bagi golongan rahib wanita dalam tradisi kebudayaan Kadazan-Dusun). Mereka memainkan peranan penting untuk menyemah tapak tanaman bagi memastikan tanaman yang berjaya untuk tahun hadapan.

Bagi Gawai Dayak pula, beberapa persembahan tradisional akan dipersembahkan seperti tarian ngajat, persembahan muzik tradisional dan upacara miring (adat menghormati roh nenek moyang sempena Hari Gawai).

Makanan tradisional yang dihidangkan
Antara makanan yang sering dihidangkan sempena perayaan Pesta Kaamatan adalah makanan tradisional terkenal seperti bambangan, tuhau (sejenis halia liar tempatan, biasanya dimakan bersama ikan atau begitu sahaja), hinava (ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, limah kapas dan garam), linopot (nasi yang dibalut dalam daun) dan minuman keras iaitu ‘tapai’.
Bagi perayaan Gawai Dayak pula, hidangan tradisional yang sering dilihat adalah ayam pansuh (ayam dimasak dalam buluh), umai serta minuman keras seperti tuak dan langkau.

Menjalinkan hubungan dan melambangkan identiti
Kedua-dua perayaan ini bukan sahaja mempunyai kepentingan budaya, mereka juga memainkan peranan penting dalam menjalinkan hubungan dalam kalangan masyarakat dan melambangkan identiti.
Kedua-dua perayaan ini disambut dengan penuh hormat dan bangga oleh budaya yang meraikannya. Walaupun ‘serupa’, perbezaan unik inilah yang mencerminkan budaya berwarna-warni yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

Ketahui lebih lanjut tentang upacara yang dibuat di Sarawak dan Sabah:
Artikel asal oleh: iloveborneo.my
RM13.01
