Seorang warga emas dipercayai pesakit Covid-19 dilihat merangkak di atas lantai dan cuba memaut pada katil wad untuk berdiri meminta bantuan. Menurut FMT, warga emas tersebut kemudian rebah namun tiada sesiapa dilihat datang membantunya.
Kejadian tersebut didakwa telah dirakamkan di salah sebuah wad hospital di Kedah dan selepas tertularnya video itu, pelbagai reaksi dan tanda tanya timbul serta mencetuskan kemarahan netizen.

Meninggal dunia selepas 40 minit terbaring di atas lantai
Berdasarkan laporan, pesakit warga emas tersebut didakwa terbaring di lantai tanpa bantuan sehingga dia menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 40 minit kemudian. Menerusi beberapa video yang tular, warga emas tersebut cuba berdiri dengan memaut pada katil pesakit lain dan mangsa dilihat dalam keadaan yang sangat lemah di wad yang dipercayai wad Covid-19.
Kejadian itu dikatakan berlaku di hospital kerajaan berdasarkan jubah hijau dipakai oleh pesakit lain yang dilihat berada di lokasi tersebut. Menurut FMT, video itu dihantar dengan satu mesej yang mendakwa seorang pesakit telah memaklumkan kepada jururawat bertugas tentang keadaan warga emas terbabit namun hanya disuruh periksa sama ada lelaki itu masih hidup ataupun tidak.

JKN nafi tidak mempedulikan pesakit, insiden sedang disiasat
Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo menjafikan dakwaan petugas di wad Covid-19 Hospital Lama Sungai Petani lambat memberi respon dan rawatan kepada warga emas tersebut sehingga meninggal dunia di atas lantai.
Pihaknya kini sedang mengumpul maklumat tentang insiden yang berlaku itu dan telah mengdakan perbincangan dengan petugas-petugas terlibat untuk melengkapkan siasatan.
Katanya, “Kami telah mengadakan perbincangan dengan pegawai dan jururawat terlibat dan kita sedang sediakan laporan (lengkap)…ya, kejadian berlaku di Hospital Lama Sungai Petani di wad Covid-19 dan memang betul pesakit itu meninggal dunia.”
Tapi (maklumat awal) yang mengatakan tindak balas petugas lambat itu tidak benar, kami akan keluarkan kenyataan lengkap untuk pihak media nanti.”
