BANGKOK: Idea penggunaan ganja untuk riadah tidak disenangi perdana menteri baharu Thailand, Srettha Thavisin biarpun bahan itu digunakan secara terbuka di seluruh negara.
Penggunaan ganja di Thailand dibenarkan selepas dadah itu dikeluarkan daripada senarai jenayah pada tahun lalu.
Kata Srettha, ganja dikeluarkan daripada senarai jenayah bukanlah untuk digunakan sebagai riadah, sebaliknya bertujuan kegunaan perubatan dan barang pengguna.
“Saya tidak bersetuju menggunakan ganja secara rekreasi kerana penggunaan ganja hanya untuk perubatan sahaja.
“Saya tidak mahu dengan alasan ganja untuk riadah, lebih ramai masyarakat kita terjebak dengan penyalahgunaan dadah yang kronik,” katanya ketika diwawancara dengan media tempatan, The Standard.
Pemimpin baharu Thailand itu sebelum juga pernah menyuarakan bantahan terhadap penggunaan ganja secara riadah ketika kempen pilihan raya umum pada Mac lalu.
Bangkok mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik pada Jun 2022 ketika dibawah pemerintahan kerajaan pimpinan Prayut Chan-o-cha.
Keputusan itu disifatkan sebagai ‘satu perubahan besar’ kerana Thailand sebelum ini terkenal dengan undang-undang dadah yang ketat.
Selain itu, keputusan berkenaan juga menyaksikan kemunculan ratusan dispensari ganja di Bangkok sehingga mencetuskan kemarahan umum, termasuk gesaan mewujudkan undang-undang berkaitan.
Pasaran ganja Thailand dianggarkan bernilai AS$1.2 bilion (RM5.6 bilion) menjelang 2025. – AFP
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
