JOHOR BAHRU – Seorang wanita berusia 57 tahun cedera di paha kiri setelah tertusuk kayu apabila kereta dipandunya dihempap pokok tumbang tidak lama selepas dia meninggalkan pusat mengundi dalam kejadian pukul 3 petang di Taman Desa Rahmat di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Pegawai Kanan II Mohd Shah Rizal Abdul Rahman berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian susulan terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.
“Kereta BMW yang dipandu mangsa dihempap pokok yang tumbang di lokasi kejadian hanya 500 meter dari pusat mengundi. Ia menyebabkan mangsa cedera di paha kiri akibat tertusuk kayu yang terjatuh.
“Mangsa yang mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Yassin itu baharu sahaja selesai mengundi. Mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta dan diberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, pihak bomba kemudian bertindak memotong pokok yang tumbang dengan menggunakan dua unit gergaji rantai sebelum operasi ditamatkan pada pukul 3.28 petang.- KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo Online
RM13.01
