MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas 642 produk kesihatan tidak berdaftar dan lima peranti digital bernilai RM8.3 juta menerusi Ops Pharma, semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, jumlah itu merupakan rampasan terbesar yang direkodkan di Melaka setakat ini.
Katanya, serbuan dilakukan pada pukul 2 petang sehingga 10 malam membabitkan tujuh premis di sekitar bandar Melaka yang menjual produk mengandungi steroid anabolik dan tidak berdaftar.
“Produk yang dirampas diperolehi daripada pelbagai negara, kita percaya ia dijual secara tidak sah untuk pasaran dalam negara.
“Modus operandi mereka adalah menjual produk secara dalam talian melalui rumah kedai, rumah serta bangunan yang dijadikan stor dan dipercayai sudah aktif sejak lebih dua tahun,”katanya pada sidang akhbar Ops Pharma di sini, hari ini.
Tambahnya, operasi itu dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua tahun, namun tiada tangkapan dibuat tetapi pihaknya telah mengenal pasti dua suspek lelaki termasuk seorang warga asing.
“Siasatan lanjut sedang dilakukan, ada kemungkinan pemain-pemain lain yang lebih besar turut terlibat dalam penjualan haram ini dan kita sedang cuba cari rangkaian aktiviti yang dijalankan.
“Operasi semalam turut dijalankan serentak di negeri lain tetapi tidak sebesar di Melaka kerana di sana hanya berperanan sebagai peruncit atau penjualan semula sahaja,” jelasnya.
Ujarnya lagi, operasi bersepadu itu melibatkan CPF Negeri Sembilan dan Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo Online
RM13.01
