Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI
PELUMBA muda negara, Putera Adam Halim Muazzam menepati ramalan apabila muncul juara keseluruhan kategori senior perlumbaan kejuaraan Karting Malaysia 2021 di Litar Go Kart Sepang di sini, sebentar tadi.
Putera Adam merangkul gelaran selepas mengumpul 522 mata manakala Muizzuddin Musyatfa 491 mata dan Raja Ariff ditempat ketiga dengan 451 mata.
Pada perlumbaan sirkit ke-7 tadi, Putera Adam mewakili pasukan IS Racing dan bermula dari petak pertama, menewaskan 15 pelumba lain dengan catatan 16 minit 22.572 saat manakala tempat kedua rakan sepasukan, Putera Imran ketinggalan 0.328 saat manakala tempat ketiga pula milik pelumba dari DRM Racing Team, Nik Iruwan dengan catatan masa 16 minit 23.823 saat.
Jelas , Putera Adam,16, melahirkan rasa gembira dengan kejayaannya itu kerana ia menepati sasaran sebelum ini.
“Kejayaan ini sedikit sebanyak memberi motivasi untuk saya terus berusaha dan berjaya dalam perlumbaan lain.
“Tumpuan pada kejohanan seterusnya adalah fokus kepada aksi konsisten pada setiap perlumbaan,” katanya ditemui selepas perlumbaan.
Putera Adam mencipta sejarah menjadi pemandu go kart Malaysia pertama menaiki podium dua kali berturut-turut di WSK Super Master Series di Itali, 2017.
Dia menaiki podium selepas menduduki tempat ketiga di perlumbaan WSK Super Master Series di Litar Antarabangsa 7 Laghi, Itali, sebelum mengulanginya pada pusingan pertama WSK Super Master Series di Litar Adria, Venice, Itali,
Bagi kejohanan kali ini Putera Adam berjaya menghimpun mata selepas bergelar juara dan naib juara pada tiga daripada enam pusingan terbaik.
Untuk rekod kejuaraan Karting Malaysia 2021 anjuran Motosports Associatioan of Malaysia (MAM) melibatkan tujuh pusingan kejohanan dimana juara ditabalkan mengikut pungutan mata berdasarkan pencapaian terbaik dalam enam sirkit terbaik.
RM13.01
