Seperti dunia maklum, netizen atau tentera bawang kita memang yang paling digeruni sehinggakan ada sebuah negara #koyak setelah di’singgah’ oleh netizen kita. Jadi, apalah sangat permainan di internet ini bagi netizen Malaysia.
Olimpik Tokyo mungkin sudah berakhir, tetapi semangat persaingan tetap membara! Sebuah permainan klik bernama Popcat trending di kalangan netizen, dan yang perlu anda lakukan hanyalah dengan mengklik sebanyak mungkin skrin dengan paparan gambar kucing kecil yang comel.
Pemain dikehendaki mengklik gambar kucing, dan klik mereka akan dikira sebagai ‘mata’ untuk negara masing-masing.

Permainan ini mendapat namanya dari bunyi ‘pop’ yang keluar dari kucing itu apabila gambarnya diklik, dan mulut kucing itu yang akan ternganga luas dengan begitu comel sekali.
Pemain hanya perlu mengunjungi laman web di mana permainan ini dihoskan (popcat.click) untuk mengklik gambar kucing, atau tekan mana-mana butang pada peranti mudah alih mereka.
Sehingga artikel ini ditulis, terdapat 203 negara yang terdaftar di papan skor, dan Malaysia berada di kedudukan ke-2, dengan lebih dari 8.6 billion klik.
Ketika ini, Taiwan sedang mendahului carta dengan lebih dari 14 billion klik, diikuti oleh Finland di tangga ke-3 (5.4 billion klik) dan Sweden di tangga ke-4 (4 billion klik).

Selebihnya negara yang mengungguli carta 10 teratas terdiri daripada Poland, Denmark, Hungary, Serbia, Croatia dan Thailand.
Secara kebetulan, Korea Utara berada di bahagian bawah papan skor, dengan hanya mencatatkan satu klik sahaja – setakat ini.
Jadi apa yang anda tunggu, rakyat Malaysia? Siapkan ibu jari anda, ayuh kita buktikan kita adalah netizen yang terhebat di alam maya!
