Cristiano Ronaldo sah kembali ke Manchester United selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford.
Perkara itu disahkan oleh laman twitter rasmi kelab Manchester United itu sendiri sebentar tadi.
Berita perpidahan Ronaldo dari Juventus bermula sejak beberapa hari lalu, dan pada mulanya dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City.
Manchester United akhirnya memasuki perlumbaan bagi menyaingi Manchester City dalam usaha mendapatkan Cristiano Ronaldo dari Juventus selepas Massimiliano Allegri mengesahkan bintang Portugal itu mahu meninggalkan Itali.
Berita ini semakin hangat apabila wartawan yang terkenal dengan berita perpindahan pemain, Fabrizio Romano mengesahkan bidaan telah dilakukan oleh Manchester United dalam tweet beliau sebelum itu.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dalam kenyataannya mengalu-alukan kepulangan legenda kelab itu ke Old Trafford dan pihak pengurusan kelab dipercayai telah mula berhubung dengan ejen Jorge Mendes bagi membincangkan perincian kontrak hanya beberapa jam yang lalu.
Bidaan ke Juventus segera dilakukan, dan kontrak turut diserahkan kepada ejen pemain itu, dan pada masa yang sama Manchester City menarik diri dari membida pemain tersebut.
Hanya dalam tempoh beberapa jam, semua pihak telah mencapai persetujuan untuk perpindahan ini diteruskan – dalam satu hari yang dianggap gila dalam sejarah perpindahan pemain.
Ronaldo menyertai United dari Sporting Lisbon sebagai pemain remaja yang tidak dikenali pada 2003, dan meluangkan kariernya selama enam musim di kelab Liga Perdana Inggeris.
Cristiano, pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, setakat ini telah memenangi lebih dari 30 piala utama sepanjang kariernya, termasuk lima gelaran Liga Juara-Juara UEFA, empat Piala Dunia Kelab FIFA, tujuh gelaran liga di England, Sepanyol dan Itali, dan Kejuaraan Eropah untuk negaranya, Portugal.
Pada musim pertamanya untuk Manchester United, dia menjaringkan 118 gol dalam 292 permainan.
Ronaldo kemudiannya berhijrah ke Real Madrid dengan rekod perpindahan dunia bernilai £80 juta pada 2009 sebelum menyertai Juventus pada 2018.
Ronaldo sudah pun dianggap sebagai legenda di kalangan penyokong Manchester United. Pemain itu dijangka akan melakukan pemeriksaan kesihatan beberapa hari lagi selepas perpindahan tersebut turut diumumkan secara rasmi oleh Manchester United sebentar tadi.
Sumber: Manchester United
BACA: Paul Pogba Layan Kartun Omar & Hana
