Kementerian Pertahanan Rusia mengisytiharkan gencatan senjata separa bagi membolehkan koridor kemanusian dilaksanakan di bandar Mariupol dan Volnovakha di Ukraine.
Pada Sabtu, bermula jam 10 pagi (waktu tempatan), Rusia mengisytiharkan gencatan senjata dengan Ukraine dan pembukaan koridor kemanusiaan untuk mengeluarkan orang awam dari Mariupol dan Volnovakha, jelas kementerian tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Koridor kemanusiaan yang diwujudkan bagi membolehkan orang awam meninggalkan dua bandar tersebut yang ketika ini berada dalam zon konflik turut dipersetujui Ukraine.
Perkara berkenaan turut diumumkan oleh penasihat kepada ketua Pejabat Presiden Ukraine, Mykhailo Podoliak menerusi akaun Twitternya.
Walau bagaimanapun ujarnya, zon kemanusiaan ini tidak diwujudkan di semua kawasan sebaliknya hanya di kawasan yang diumumkan sahaja. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata sementara dalam tempoh ini.
Memetik daripada berita tempatan, pendekatan baharu ini didakwa dibuat selepas Presiden Rusia, Putin dipercayai gagal mendapatkan kemenangan ‘pantas’ yang diingininya dan tentera Rusia menghadapi tentangan hebat daripada Ukraine di seluruh negara.
Sementara itu, Putin memberitahu Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Jumaat bahawa pusingan ketiga rundingan akan dijadualkan pada hujung minggu ini.
Sumber: CNN Indonesia
