SEPANG – Serba tidak menjadi, itulah yang boleh disimpulkan buat pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman selepas terpaksa akur apabila memulakan saingan di petak terakhir pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia esok.
Pada sesi kelayakan tersebut, Syarifuddin atau terkenal dengan gelaran Damok seakan-akan hilang fokus apabila dia terus bergelut memacu jentera KTM yang ditungganginya itu dan punca utama adalah disebabkan masalah komunikasi antara mekaniknya.
Damok yang bersaing bersama pasukan MT Helmets-MSI itu berkata, dia berdepan masalah komunikasi dengan mekanik pasukannya kerana segala perubahan yang dia minta untuk mendapatkan pelarasan terbaik tidak mencapai standardnya sekali gus terpaksa memulakan perlumbaan petak ke-28 dengan catatan dua minit 13.499 saat dan Jaume Masia menempah petak utama (2:10.846s).
“Saya tidak mempunyai masalah dengan pasukan dan juga mekanik, cuma apa yang saya dapat katakan ialah mereka tidak faham dengan karakter saya.
“Apa yang saya minta untuk perbaiki jentera lebih baik mengikut cita rasa dan karakter saya segalanya mengikut ke arah berlainan. Apa yang saya sampaikan kepada pasukan, mereka faham cuma saya rasa mereka keliru,” katanya ketika ditemui sejurus tamat sesi kelayakan hari ini.
Bagaimanapun, Damok yakin dia mampu melakukan terbaik dengan harapan pasukannya dapat melakukan perbuahan pada jentera bagi memberikan keyakinan kepada tampil lebih baik pada perlumbaan sebenar nanti esok.
“Pada sesi kelayakan mereka buat perubahan besar dan jentera semakin baik. Cuma masih ada sedikit benda perlu diperbaiki pada jentera saya. Saya kurang gembira dengan keputusan minggu ini terutama beraksi di laman sendiri.
“Saya kecewa tidak dapat tunjukan prestasi terbaik di hadapan semua peminat. Apapun, jika pasukan buat sesuatu dan dapat meningkatkan semangat saya, tidak mustahil saya mampu melakukan kejutan.
“Bagi saya tidak mustahil kerana John McPhee pun pernah bermula di petak terakhir di sini dan dia juga menang di Sepang. Kalau dia boleh buat saya pun boleh buat,” tegas Damok. -KOSMO! Online
Sumber: Kosmo Sukan
RM13.01
