Oleh: JJFIRDAUS Foto: KHAIRUL AKMA
MERAH Kuning Lambang Kebanggaan adalah kata-kata keramat yang sering dilaungkan oleh para penyokong Selangor sejak bertahun lamanya dan kini Selangor FC kembali membangkitkan semangat itu dengan meletakkanya sebagai salah satu item di jersi baharu mereka.
Perkataan MKLK jelas terpapar di bahagian belakang jersi musim 2022 Selangor FC yang menjadi pasukan pertama membuat pengenalan jersi dan bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini.
Dengan sejarah pasukan yang cemerlang dan mempunyai kelompok penyokong yang fanatik, acara Hari Jersi Selangor disambut meriah dengan kehadiran ribuan penyokong di perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Selangor FC berjaya memupuk semangat menyokong menerusi acara ini dengan menyantuni kesemua peringkat umur terutama di peringkat akar umbi dengan aktiviti Klinik Bola Sepak yang melibatkan ramai kanak-kanak.
Kehadiran dua pemain antarabangsa baharu, Baha’ Abdelrahman dan Yazan Al-Arab nyata berjaya menarik perhatian peminat cilik yang memasang impian untuk menjadi pemain bola sepak professional.
Menerusi sidang ramah mesra yang diadakan, penyokong Selangor jelas mengharapkan kehadiran dua pemain antarabangsa Jordan ini mampu membantu Selangor mengatasi masalah yang melanda kelab itu beberapa musim terdahulu.
Tinjauan Cakap Sukan di acara itu mendapati rata-rata peminat menyuarakan harapan agar Selangor FC dapat kembali bersaing mendapatkan kejuaraan Liga Super dan memenangi Piala Malaysia buat kali ke-34.
Atas desakan inilah, Selangor FC kembali menggunakan kata-kata keramat yang sudah menjadi nadi para penyokong yang semakin merindui zaman kegemilangan bola sepak negeri Selangor.
