TALLAHASSEE: Beberapa sekutu rapat bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berasa berang dan menuntut penjelasan segera berhubung serbuan dilakukan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di kediaman peribadi pemimpin itu, Mar-a-Lago di Florida.
Ahli politik dari Parti Republikan menyifatkan serbuan itu bermotifkan politik, dengan rata-rata pemimpin terkemuka menuntut penjelasan daripada Peguam Negara, Merrick Garland.
Memetik laporan BBC, bekas Naib Presiden AS, Mike Pence menggesa Peguam Negara tampil menjelaskan mengapa penggeledahan itu dilakukan.
“Setakat ini, tiada mana-mana bekas Presiden AS pernah menjadi sasaran serbuan kediaman peribadi mereka dalam sejarah negara,” katanya di Twitter.
Isnin lalu, hartawan itu mendakwa ejen FBI bertindak memecah masuk kediaman yang terletak di Palm Beach ketika beliau berada di Menara Trump di New York.
Serbuan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penyiasatan terhadap Trump mengendalikan dokumen sulit dan sensitif berkaitan keselamatan negara.
Bagaimanapun, beberapa laporan media mendakwa operasi dilancarkan FBI merupakan sebahagian siasatan Jabatan Keadilan (DoJ) sama ada Trump ‘memindahkan’ dokumen penting itu ketika meninggalkan Rumah Putih pada Januari 2021.
Dalam pada itu, beberapa sekutu Trump di Kongres pula berikrar untuk melancarkan siasatan sekiranya mereka berjaya meraih sokongan majoriti di Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal akan datang.
Sementara itu, Ketua Anggota Senat Republikan, Mitch McConnell berkata, DoJ seharusnya menjelaskan situasi sebenar kepada rakyat Amerika dan perlu berbuat demikian dengan segera.
Meskipun ramai ahli Demokrat menyambut baik operasi serbuan itu, beberapa ahli politik pula menggesa DoJ untuk mendedahkan lebih banyak maklumat.
Beberapa pihak menyuarakan kebimbangan tindakan itu boleh meningkatkan sokongan kepada bekas presiden itu.
Sumber: Utusan Malaysia
RM13.01
