BESUT – Seorang pemuda yang disyaki mendera bayi lelaki berusia 17 bulan sehingga maut dipercayai telah melarikan diri ke Kelantan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, gerakan memburu lelaki berusia 27 tahun yang juga teman lelaki ibu mangsa sedang giat dilakukan.
“Kita percaya suspek sedang bersembunyi di negeri jiran (Kelantan). Usaha untuk mengesan dan menangkapnya sedang dilakukan.
“Setakat ini, ibu mangsa berusia 27 tahun direman sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya di sini semalam.
Abdul Rozak berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang lelaki tersebut diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Berita berkaitan: Mengigil pangku cucu tidak bernyawa
Sementara itu, nenek bayi malang berusia 66 tahun mendakwa dia tidak mengenali suspek dan anak perempuannya bercadang mahu memperkenalkan teman lelakinya apabila mereka serius mengikat tali perkahwinan kelak.
“Saya tidak sangka perkara buruk ini boleh berlaku. Tidur malam saya tidak tenang. Sikap manja dengan cucu yang mula pandai memanggil saya Tok Mek masih terngiang-ngiang,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan bayi lelaki berusia 17 bulan yang mempunyai kesan lebam pada beberapa anggota badannya meninggal dunia ketika dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kampung Raja di sini pada Rabu lalu.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan diserahkan ibunya kepada jagaan teman lelakinya selama 15 jam mulai pukul 4 petang, Selasa lalu.
Hasil bedah siasat terhadap anak bongsu daripada dua beradik berkenaan mendapati usus kecilnya mengalami kebocoran.
Sumber: Kosmo Online
RM13.01
