Ura-ura Bintang ‘OG’ Termasuk Robert Downey Jr Bakal Kembali Dalam Filem MCU?
Rumor bertiup kencang apabila tonggak-tonggak awal atau ‘OG’ filem Marvel dilapor bakal kembali Marvel Cinematic Universe (MCU) selepas ini.
Menurut beberapa portal berita hiburan antarabangsa, keputusan itu bakal diambil oleh individu-individu penting dibelakang tabir selepas perkembangan terkini MCU yang dikatakan tidak menentu.
Dalam laporan Variety, beberapa isu melibatkan MCU mula timbul selepas beberapa tahun Avengers: Endgame menemui penonton.
Selain itu, ia juga didorong oleh kutipan beberapa filem MCU terkini yang tidak berjaya melepasi angka USD1 bilion di peringkat global.
Menurut pemerhati, kutipan dibawah paras USD1 bilion di peringkat global boleh dianggap rendah bagi jenama MCU.
Berdasarkan laporan Business Insider, selepas Endgame, hanya tiga buah filem MCU yang berjaya mendapatkan kutipan global melepasi USD1 bilion.
Filem berkenaan adalah Captain Marvel (USD1.128 bilion), Spider-Man: Far From Home (USD1.13 bilion) dan Spider-Man: No Way Home (USD1.9 bilion).
Justeru, bagi mengatasi masalah-masalah yang ada, antara langkah yang mungkin akan diambil adalah menerbitkan sebuah filem Marvel yang menampilkan bintang-bintang asal.
Menurut Variety, mereka juga tidak menolak untuk mengembalikan watak-watak yang sudah pun dimatikan dalam filem-filem sebelum ini.
Antaranya filem tersebut dikatakan bakal menampilkan Robert Downey Jr (Tony Stark/Iron Man) dan Scarlett Johansson (Natasha Romanoff/Black Widow).
Sungguhpun begitu, Marvel dilaporkan tidak begitu komited terhadap perlaksanaan rancangan yang disifatkan agak drastik ini.
Hal ini disebabkan rancangan ini bakal melibatkan kos yang sangat tinggi kerana perlu membayar kontrak yang lumayan kepada pelakon-pelakon berkenaan.
Berdasarkan beberapa sumber dari Variety, gaji pendahuluan Robert Downey untuk filem Iron Man 3 bernilai $25 juta (RM116.79 juta). Jumlah ini tidak termasuk peratusan daripada hasil kutipan yang diterima pelakon selepas tayangan.
Bagaimanapun, kemunculan semula bintang ‘OG’ Avengers bukanlah perkara kecil dan boleh diambil mudah.
Marvel juga perlu mengambil kira sentimen peminatnya memandangkan Endgame merupakan filem penutup yang diterima secara positif.
Namun begitu, mengambil kira situasi semasa dihadapi oleh MCU ketika ini, idea berkenaan mungkin tidak ditolak ke tepi sepenuhnya.
Sebelum ini, Studio Marvel terpalit dengan beberapa kontroversi termasuk pemecatan Victoria Alonso pada Mac lalu yang disifatkan satu keputusan yang sangat mengejutkan.
Victoria merupakan salah seorang produser Marvel yang paling berpengaruh studio berkenaan pernah miliki.
Difahamkan, pemecatan berkenaan berpunca kerana Victorio didakwa melanggar kontrak apabila terlibat dalam penerbitan drama Argentina, 1985 bersama Amazon Studio.
Selain itu, Marvel juga berdepan dengan kritikan melibatkan kualiti beberapa drama bersiri yang diterbitkan sebelum ini.
Beberapa bintang utama dan menjadi watak untuk Marvel kembangkan di masa hadapan juga terlibat dengan skandal dan kes mahkamah.
BACA: Suami Isteri Gigih Hantar Sendiri Makanan Dijual, Jalin Keakraban Dengan Pelanggan
Sumber: IGN Africa, Variety
The post Ura-ura Bintang ‘OG’ Termasuk Robert Downey Jr Bakal Kembali Dalam Filem MCU? appeared first on Siakap Keli.
Artikel asal oleh: Siakap Keli
RM13.01
