Bukan mudah untuk menjadi seorang wakil rakyat atau lebih dikenali sebagai ‘YB’. Begitulah nasib malang yang menimpa seorang lelaki di India apabila dia dilapor hanya berjaya meraih satu undi dalam pilihan raya tempatan di kampungnya.
Lebih mengejutkan lagi, undi tunggal itulah satu-satunya undian yang layak baginya walaupun kesemua 12 ahli keluarganya dikatakan layak untuk mengundi bagi pihaknya.
Menurut laporan Oddity Central, lelaki berkenaan, Santosh Halpati pada asalnya bertanding untuk jawatan ketua kampung di kampungnya sendiri di Chharwala dalam daerah Vapi.
Dikatakan lelaki itu sudah menjangka bahawa dia tidak akan memenangi pilihan raya tersebut, namun langsung tidak menjangka bahawa dia hanya akan menerima satu undian sahaja…iaitu daripada dirinya sendiri.
Mengetahui keputusan itu, lelaki tersebut sedih mengenangkan nasibnya yang kalah mudah begitu saja. Dia turut memberitahu kepada media bahawa 12 ahli keluarganya itu layak mengundi.
Namun agak menyedihkan, mereka semua memilih untuk tidak mengundinya, sebaliknya memberikan undian mereka untuk calon bertanding yang lain. Pendek kata, dia seakan dikhianati oleh keluarganya sendiri.
“Pilihan raya datang dan pergi.
“Tetapi saya hanya memperoleh satu undian, malah ahli keluarga saya pun tidak mengundi saya,” katanya, memetik Times Now menerusi Oddity Central.
Imbas kembali, difahamkan kes yang hampir sama turut pernah berlaku pada tahun lalu melibatkan seorang calon bebas yang bertanding di pilihan raya tempatan di Punjab.
Calon bebas itu dilapor menangis saat memberitahu wartawan bahawa dia hanya menerima lima undi walaupun mempunyai sembilan orang ahli keluarga yang layak mengundi.
Walau bagaimanapun, kes Santosh ini dianggap lebih sakit kerana dia tidak menerima satu pun undian lain selain undi milik dirinya sendiri.
Santosh mendakwa, terdapat beberapa orang yang memberi jaminan kepadanya bahawa mereka mengundi dia.
Sumber: Oddity Central
