Seorang wanita terkejut apabila seekor ular sawa tiba-tiba muncul di rak rempah ketika sedang membeli-belah di sebuah pasar raya. Kejadian dilaporkan berlaku di Canberra, Australia.
Wanita tersebut, Helaina Alati menceritakan detik cemas itu ketika dia sedang mencari bahan rempah ratus untuk masakan malam. Pada mulanya, dia tidak menyedari kehadiran haiwan reptilia sepanjang 3 meter yang berada di belakang botol-botol rempah.


“Saya berada di rak rempah mencari sesuatu untuk dimasak bersama ayam pada malam nanti. Pada mulanya, saya tidak sedar kerana ular tersebut berada di belakang botol-botol rempah yang kecil,” jelas Helaina.
Kehadiran ular sawa itu mula disedari selepas ia menjalar keluar dari rak dan menampakkan seluruh badannya.
“Nasib baik saya ada pengetahuan mengenai ular, jadi saya agak tenang pada ketika itu. Ia sememangnya mengejutkan sedikit kerana saya tidak menyangka akan bertemu ular,” ujar Helaina.
BACA: [VIDEO] Selepas 16 Tahun, Penyu Akhirnya Mendarat Di Pantai Batu Burok
Helaina kemudian mengambil beg khas untuk penangkapan ular di rumahnya dan kembali semula ke pasar raya tersebut untuk menangkap ular sawa tersebut. Difahamkan, Helaina kemudian telah pun melepaskan ular tersebut kembali ke habitat asalnya.
Untuk rekod, Helaina Alati mempunyai pengalaman dalam menangkap ular berbisa ketika dia menjadi sukarelawan di Syndey beberapa tahun lalu.
Sumber: AP News
