Tukar pengakuan abai dan dera kanak-kanak lelaki 7 tahun
Ibu Tunggal, Rakan ‘Tomboi’ Mengaku Bersalah Dera Anak Usia 7 Tahun. Seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya,wanita tomboi menukar pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan menganiaya dan mengabai anak kandungnya, sejak Julai bulan lalu.
Tertuduh, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27, dan Awiin Chua, 30, menukar pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.
Terdahulu, Nurul Asyiqin yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi disambut oleh ayah kandung dan bapa saudaranya yang hadir untuk mengikuti perjalanan kes tersebut.
Suasana pilu menyelubungi mahkamah itu setelah Nurul Asyiqin dan bapanya, Mohamad Zahir Ahmad, 62, berpelukan dan menitiskan air mata setelah beberapa tahun tidak bertemu.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa dengan niat menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berada dalam pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Bagi pertuduhan kedua, Nurul Asyiqin dan Awiin didakwa dengan niat mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kandung Nurul Asyiqin ketika mangsa berada dalam pemeliharaan mereka.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.
Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Zubir manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Abd. Rahim Ali.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober depan untuk fakta dan hukuman.
Baca lagi artikel menarik:
Artikel asal oleh: iloveborneo.my
RM13.01
